Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Lebih 500 Terbunuh Berdekatan Tapak Agihan Bantuan GHF Di Gaza – PBB
Lebih 500 orang dilaporkan terbunuh berhampiran lokasi agihan bantuan milik Gaza Humanitarian Foundation (GHF) sejak akhir Mei, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
GHF merupakan sebuah inisiatif swasta yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, dan mula beroperasi pada 26 Mei selepas Israel menghentikan bekalan masuk ke Semenanjung Gaza selama lebih dua bulan, sehingga mencetuskan amaran kebuluran.
Namun, operasi GHF sering diselubungi kekecohan, termasuk laporan hampir setiap hari yang mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan di wilayah Palestin.
“Secara keseluruhan, kami telah merekodkan 613 kematian di kawasan sekitar lokasi agihan GHF dan konvoi bantuan kemanusiaan sejak GHF mula beroperasi sehingga tengah hari 27 Jun.
“Daripada jumlah itu, 509 kematian berlaku secara khusus berhampiran kawasan agihan GHF, manakala selebihnya berlaku berdekatan konvoi bantuan PBB dan bukan PBB,” kata Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani.
Menurut Shamdasani, angka tersebut masih berubah kerana PBB terus menerima laporan baharu yang sedang disahkan.
Shamdasani menjelaskan, usaha mengumpul maklumat lebih terperinci sukar dilakukan kerana kekangan akses ke Gaza.
“Sudah jelas bahawa tentera Israel telah mengebom dan menembak warga Palestin yang cuba mendapatkan bantuan makanan di lokasi agihan.
“Berapa ramai yang terbunuh? Siapa yang bertanggungjawab? Kami perlukan siasatan. Kami perlukan akses. Kami perlukan siasatan bebas, dan akauntabiliti terhadap kematian-kematian ini,” tegas Shamdasani.
PBB dan beberapa agensi bantuan utama lain enggan bekerjasama dengan GHF kerana bimbang ia ditubuhkan untuk memenuhi kepentingan ketenteraan Israel dan melanggar prinsip asas kemanusiaan.
Berpangkalan di Delaware, AS, GHF memaklumkan pada Khamis bahawa mereka telah mengagihkan lebih sejuta kotak bantuan makanan di Gaza.
Pengerusinya, Johnnie Moore bagaimanapun menafikan sebarang insiden keganasan di tapak agihan.
“Kami tidak pernah mengalami sebarang insiden ganas di kawasan agihan kami, malah tiada insiden ganas yang berlaku berhampiran lokasi kami,” katanya kepada wartawan di Brussels pada Rabu.
Di sisi lain, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn pula menyifatkan pembunuhan ini sebagai tidak masuk akal dan perlu dihentikan segera.
“Pesakit berada di merata tempat, di atas lantai, di koridor. Kebanyakannya adalah kanak-kanak lelaki, remaja dan pemuda.
“Kita semua tahu mereka pergi ke lokasi agihan makanan yang digelar sebagai selamat tetapi bukan di bawah kelolaan PBB.
“Ada begitu banyak kes tembakan di kepala, leher, dan dada,” tambahnya.
BACA: Israel Setuju Syarat-Syarat Gencatan Senjata 60 Hari Di Gaza – Trump
BACA: Israel Setuju Gencatan Senjata, Harga Minyak Jatuh 5 Peratus
BACA: Israel Lancar Serangan Udara Ke Atas Kemudahan Peluru Berpandu Iran
Sumber: AFP