Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Kenali Masjid Al-Mujadilah: Masjid Pertama Di Dunia Khas Untuk Wanita
Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat pembelajaran, perbincangan dan pertemuan komuniti.
Namun, tidak banyak masjid di dunia yang direka khas untuk memenuhi keperluan wanita secara menyeluruh.
Di sinilah terletaknya keistimewaan Masjid Al-Mujadilah, masjid pertama di dunia yang dibina khas untuk wanita, terletak di Education City, Doha, Qatar.
Masjid Al-Mujadilah, yang membawa maksud “wanita yang berhujah” dalam bahasa Arab, merupakan hasil cetusan idea oleh Pengerusi Yayasan Qatar, Sheikha Moza bint Nasser.
Projek ini direalisasikan oleh firma seni bina terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), Diller Scofidio + Renfro.
Visi utama pembinaan masjid ini adalah untuk mewujudkan ruang ibadah dan pendidikan yang benar-benar memberi tumpuan kepada wanita Muslim masa kini.
Sebagai arkitek wanita, Elizabeth Diller menyifatkan projek ini sebagai peluang luar biasa untuk mereka bentuk ruang fleksibel yang memenuhi keperluan harian wanita secara praktikal dan selesa.
Dengan keluasan sekitar 4,600 meter persegi, masjid ini bukan sahaja berfungsi sebagai ruang solat, tetapi juga sebagai pusat pendidikan dan sosial yang moden.
Ciri paling menarik masjid ini terletak pada reka bentuk bumbungnya yang menyerupai selimut batu keluli yang berlubang-lubang halus.
Ia direka untuk membenarkan cahaya semula jadi masuk secara lembut melalui kira-kira 5,000 terowong cahaya kecil, sambil mengurangkan bahang panas dari matahari Doha yang terik.
Reka bentuk bumbung ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan dua ruang berbeza di bawahnya.
Satu bahagian melengkung tinggi membentuk ruang solat utama, manakala satu bahagian lain yang melandai direka khas untuk ruang pendidikan.
Ruang solat utama telah diorientasikan 17 darjah daripada paksi asal bangunan bagi menghadap ke arah Kaabah di Mekah.
Lantainya dihiasi dengan permaidani bersaiz gergasi 35 meter x 20 meter yang diinspirasikan daripada reka bentuk sejadah tradisional, mampu menampung sehingga 750 jemaah wanita pada satu masa.

Pada dinding kiblat pula, ruang mihrab direka semula secara moden dengan lekuk lembut yang diterangi cahaya dari atas.
Reka bentuk ini melambangkan kesederhanaan dan keindahan dalam seni bina Islam.
Antara ruang solat dan ruang pendidikan terletaknya sebuah laman terbuka berbentuk bulat yang dipenuhi cahaya semula jadi.
Di tengah laman ini, terdapat dua pokok zaitun yang dikelilingi dinding kaca.

Ruang pendidikan dilengkapi dengan rak buku kayu, meja belajar, pentas kecil serta kawasan tempat duduk tertutup yang sesuai untuk sesi perbincangan atau bacaan peribadi.
Susun atur ini menjadikan masjid sebagai tempat pembelajaran sepanjang hayat bagi kaum wanita.

Masjid ini turut menampilkan struktur menara azan berbentuk cerut yang unik, menggantikan bentuk menara tradisional.
Ia disokong oleh kabel keluli dan dibalut dengan jaring logam berlubang corak mashrabiya, iaitu corak ukiran yang biasa ditemui dalam seni bina Islam klasik.
Menara ini mengandungi pembesar suara automatik untuk melaungkan azan.
BACA: Syiling Malaysia Ditinggalkan Di Patung Nathan Hale
BACA: Ketahui Sebab Ada Lubang Kecil Pada Tingkap Pesawat
BACA: Tip: 6 Cara Hilangkan Bau Hapak Dari Tuala
Sumber: almujadilah.qa, Dezeen