Utama

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

“Saya silap besar…” – Pindah Dari Dubai, Pelajar Antarabangsa Kongsi Pengalaman Mengejutkan Study Di Malaysia
Ramai warga asing mungkin masih belum menyedari keunikan dan pesona yang dimiliki oleh Malaysia.
Namun, bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sini, pengalaman pertama itu sering kali menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Seawal langkah pertama di bumi bertuah ini, ramai yang terus jatuh hati.
Keindahan alam semula jadi yang memukau, makanan tempatan yang menggoda selera serta keramahan rakyatnya membuatkan sesiapa sahaja berasa disambut dengan tangan terbuka.
Maka tidak hairanlah apabila pelancong dan pelajar antarabangsa sering kali mengakui ‘cinta pandang pertama’ sebaik tiba di Malaysia.
Begitulah kisahnya bagi seorang pelajar antarabangsa dari Pakistan, yang sebelum ini menetap di Dubai.
Dia berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian selama setahun, tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi terhadap negara ini.
Namun, siapa sangka, keputusan itu akhirnya mengubah persepsinya sepenuhnya.
Itulah pengakuan jujur yang dikongsikan oleh pelajar ini menerusi sebuah hantaran di platform Reddit, ketika mengimbas semula keputusannya datang belajar ke Malaysia.
“Saya berpindah dari Dubai ke Kuala Lumpur lebih setahun lalu untuk sambung belajar di universiti.
“Masa tu, saya langsung tak letak sebarang harapan pada Malaysia. Sebelum ni, pengalaman saya tinggal di luar negara tak begitu menggembirakan.
“Lagipun, saya ingat saya cuma akan duduk sini setahun saja, jadi saya tak kisah pun sangat.
“Tapi rupa-rupanya, saya memang silap besar,” tulisnya.
Pelajar ini sudah terbiasa hidup berpindah-randah kerana ayahnya bekerja dalam sektor antarabangsa. Baginya, konsep ‘rumah’ hanya bersifat sementara.
“Saya tak pernah betul-betul rasa serasi atau diterima, sebab saya sentiasa jadi ‘orang luar’ di mana-mana pun saya tinggal,” katanya.
Namun segalanya berubah selepas dia berpindah ke Malaysia.
“Dalam masa setahun saja, Malaysia dah berjaya curi hati saya dengan cara yang tak pernah saya jangka.
“Saya tak pernah rasa begitu selesa dan diterima seperti mana saya rasa di sini.
“Keikhlasan rakyat Malaysia dan layanan mereka buat saya rasa seolah-olah inilah tempat yang saya cari selama ini,” katanya.
Pelajar ini turut mengakui bahawa Malaysia bukanlah sebuah ‘utopia’ dan tetap berdepan cabaran seperti negara-negara lain.
Namun, baginya, Malaysia adalah negara yang paling hampir dengan kata ‘sempurna’.
Bukan itu sahaja, pelajar ini turut terpikat dengan suasana semula jadi Malaysia yang kaya dengan kehijauan.
Kehidupan di sini katanya, lebih tenang, damai dan menyegarkan berbanding negara-negara lain yang pernah didiaminya.
“Pokok merata-rata, kehijauan yang menyegarkan jiwa…
“Saya pun jatuh cinta dengan cuacanya. Ya, memang kadang-kadang panas, tapi kebanyakan hari cuaca sangat menyenangkan,” tambahnya lagi.
Tanpa kita sedar, perkongsian pemuda ini sebenarnya bukan sekadar kisah peribadi tentang dirinya yang jatuh cinta dengan Malaysia.
Sebaliknya, ia menjadi gambaran jelas tentang potensi besar yang dimiliki oleh Malaysia sebagai destinasi pendidikan antarabangsa.
Mana tidaknya, pengalaman yang dikongsikannya mencerminkan bahawa Malaysia menawarkan lebih daripada sekadar pembelajaran akademik.
Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pendidikan tinggi di peringkat global.
Buktinya, Malaysia kini tampil menyertai Ekspo 2025 Osaka di Jepun menerusi Pavilion Malaysia yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober 2025.


Sempena ekspo tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil peluang menganjurkan Minggu Pendidikan Tinggi bermula 21 hingga 26 Julai 2025.
Program ini dijangka menjadi tumpuan utama dalam usaha memperkenalkan konsep edutourism yang kini semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Melaluinya, pelawat antarabangsa akan didedahkan dengan pelbagai pakej pembelajaran berasaskan pelancongan yang bukan sahaja menampilkan keunikan sistem pendidikan tinggi negara.

Malah, ia turut mengetengahkan nilai-nilai global, keterangkuman serta kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Malaysia selama ini.
Setiap pakej dirangka dengan teliti bagi menawarkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, menarik dan bersifat global. Ia disifatkan satu pendekatan yang mampu menarik minat pelajar dari serata dunia.

Secara tidak langsung, inisiatif seperti ini bukan sahaja mampu mengukuhkan lagi reputasi Malaysia dalam arena pendidikan global.
Malah, juga berperanan penting dalam menonjolkan Malaysia di mata dunia sebagai negara yang progresif, inklusif dan bersedia menerima pelajar dari pelbagai latar belakang.
Bukan itu sahaja, ia sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai “rumah kedua” yang ideal bagi pelajar antarabangsa.