Tidak Sedar Pemilik Sudah Meninggal Dunia, Anjing Ini Setia Menunggu Di Luar Rumah
Seekor anjing peliharaan di China dilaporkan setia menunggu di luar rumah tuannya selama beberapa minggu tanpa menyedari bahawa pemiliknya telah meninggal dunia.
Menurut portal South China Morning Post, kisah haiwan itu yang dikatakan enggan makan dan minum telah menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
Anjing yang diberi nama ‘Ah Wang’ tinggal di sebuah komuniti di Daerah Baoshan, Shanghai dan disayangi penduduk setempat kerana sifatnya yang jinak serta tidak pernah menyalak terhadap kanak-kanak atau warga emas.
Anjing itu mula menarik perhatian apabila jiran-jiran yang bimbang menghubungi Stesen Televisyen Shanghai selepas menyedari kehilangannya pada 6 Januari, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Difahamkan, Ah Wang telah dijaga oleh seorang lelaki yang tinggal seorang diri selama lebih satu dekad. Namun, lelaki tersebut dilapor sudah meninggal dunia akibat penyakit yang tidak dinyatakan pada 11 Disember lalu.
Sejak pemergian tuannya, haiwan itu terus menunggu di koridor bangunan di luar rumah setiap hari.
Dalam masa sama, penduduk setempat turut meletakkan pakaian di lantai sebagai alas bagi memastikan haiwan itu kekal hangat ketika cuaca sejuk.
Walaupun beberapa penduduk menawarkan air dan makanan kepada anjing itu, ia tetap enggan menerimanya.
Menurut SCMP, beberapa jiran cuba memeluk Ah Wang dengan harapan membawanya pulang, namun anjing itu akan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran mereka.
Kehilangannya pada 6 Januari menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Apabila berita itu tersebar di media sosial, usaha mencari Ah Wang dipergiatkan dan anjing tersebut akhirnya ditemui pada 8 Januari lepas.

Seorang penduduk wanita menjumpainya bersembunyi di kawasan berumput dalam komuniti itu ketika memberi makan kepada kucing dan anjing liar.
“Badannya menggigil dan kelihatan putus asa. Air mata mengalir di mukanya,” ujar wanita berkenaan.
Seorang pengurus dari Shanghai Jiege Pet Animal Garden, memberitahu media bahawa Ah Wang mungkin mengalami tekanan mental susulan kematian tuannya.
“Daripada pemerhatian kami, anjing itu berada dalam keadaan tertekan. Biasanya ia sentiasa berjaga dan tidak membenarkan orang asing mendekatinya.

Namun hari ini, veterinari kami dapat mengendalikannya dengan mudah. Kami akan menjalankan pemeriksaan kesihatan,” jelasnya.
Sementara itu, penduduk Huang menyatakan hasrat untuk mengambil Ah Wang sebagai haiwan peliharaan bagi “memberikan ia sebuah rumah yang hangat,”.
Sumber: South China Morning Post