10 Ibrah Peristiwa Israk Mikraj
Setiap tahun, umat Islam akan menyambut peristiwa yang sangat bersejarah dalam sirah kenabian, iaitu Israk Mikraj pada 27 Rejab.
Hari yang penuh makna ini menjadi peringatan besar kepada kekuasaan Allah SWT yang telah mengurniakan mukjizat terhadap Nabi Muhammad SAW.
Seperti yang diketahui, malam Israk Mikraj yang ditempuhi oleh Rasulullah SAW penuh dengan keberkatan dan hikmah yang wajar kita teladani.
Justeru, mari ikuti perkongsian dari Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mengenai 10 ibrah Israk Mikraj kepada umat Islam.
10 Ibrah Israk Mikraj
Malam itu, langit terbuka. Bumi terdiam. Dan seorang insan dipanggil naik, ketika hatinya paling luka.
Israk Mikraj tidak datang dalam saat kemenangan. Ia datang ketika Rasulullah SAW kehilangan insan tersayang, ditolak manusia, dan disakiti tanpa belas. Saat dunia menutup pintu, Allah membuka langit-Nya.
1. Perjalanan ini bermula dari MASJID. Bukan istana. Bukan singgahsana. Kerana kebangkitan umat tidak bermula dari kuasa, tetapi dari sujud. Dari dahi yang menyentuh bumi, dan hati yang tunduk sepenuhnya kepada Ilahi. Masjid, ia tempat paling mulia bagi mereka yang beriman untuk imarahkan pengabdian.
2. Kemudian datang SOLAT. Hadiah dari langit untuk jiwa yang penat. Lima waktu yang kelihatan kecil, namun bernilai lima puluh di sisi Allah. Ia bukan beban yang menghimpit, ia tali yang menarik kita keluar dari tenggelam dunia.
3. Sebelum naik, ada SEMPIT yang menghimpit dada. Sebelum cahaya, ada gelap yang memenatkan jiwa. Allah tidak mengangkat Rasul-Nya tanpa luka, kerana luka itulah yang mematangkan iman.
4. Di langit, Rasulullah SAW berdiri MEMIMPIN para nabi. Tanpa mahkota. Tanpa takhta. Hanya AKHLAK, hanya AMANAH, dan hanya KETAATAN yang sempurna.
5. Dalam perjalanan ini, logik manusia rebah. Akal terdiam. Hanya iman yang berdiri. Kerana di sisi Allah, yang mustahil itu hanya perkataan manusia, bukan batas KEKUASAAN-NYA.
6. Tidak semua hati mampu menerima kebenaran ini. Ada yang PERCAYA tanpa melihat. Ada yang menolak walau jelas.
7. Dan solat menjadi saksi. Siapa yang JUJUR imannya. Siapa yang hidupnya hanya BERPURA.
Kredit: Bahagian Dakwah Jakim8. Beradablah saat engkau solat. Tenang. Jangan gopoh. IHSAN-kan hati, seolah-olah kamu melihat Allah saat beribadah kepada-Nya, atau kamu sedari Dia sedang melihatmu.
9. Di langit juga, diperlihatkan SYURGA dan NERAKA. Ia bukan cerita dongeng. Ia nyata. Dan setiap dosa yang diremehkan, setiap solat yang ditinggalkan, sedang membina tempat kita di sana.
10. Akhirnya, Israk Mikraj adalah bisikan KASIH Allah kepada umat ini. Umat yang sering lupa. Umat yang sering lalai. Umat yang dilingkari kelemahan. Namun masih diberi peluang, masih dipanggil pulang. Kerana kasih-Nya, 5 waktu solat diganjari seperti 50 waktu mengerjakannya.
Maka wahai hati yang letih, jika hidup terasa sempit, ingatlah..
Jalan kepada redha Allah tidak bermula dengan terbang penuh kesombongan, tetapi dengan sujud penuh keihlasan.
Kerana hanya mereka yang sanggup merendahkan dahi kepada Allah, akan diangkat setinggi langit oleh-Nya.
Sumber: Facebook Bahagian Dakwah, Jakim