Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ahli Neurosains Dedah Sebab Kenapa Kita Tak Rasa Geli Bila Geletek Diri Sendiri

Athirah
Geletek Diri Sendiri
Kredit: ImageFX

Ahli Neurosains Dedah Sebab Kenapa Kita Tak Rasa Geli Bila Geletek Diri Sendiri

Setiap individu secara semula jadi mudah merasa geli apabila digeletek pada bahagian tertentu badan, terutamanya di kawasan seperti pinggang, leher, ketiak dan tapak kaki.

Bahagian-bahagian ini biasanya dikenali sebagai titik-titik yang paling sensitif dan lemah pada tubuh, menjadikannya lebih mudah terangsang oleh sentuhan ringan.

Apabila anda digeletek, ia mengaktifkan bahagian otak yang menjangkakan kesakitan walaupun ia mengakibatkan anda ketawa.

Disebabkan itulah anda sentiasa berhati-hati apabila ada orang yang mahu menggeletek anda.

Namun begitu, pernahkah anda terfikir mengapa anda tidak boleh menggeletek diri sendiri walaupun anda seorang yang sangat mudah geli?

Ahli neurosains telah melakukan satu kajian

Menurut portal The Scientist, seorang ahli neurosains di Institut Donders dan Institut Karolinska, Konstantina Kilteni telah menjalankan satu kajian menggunakan 'mesin sensasi geli' automatik untuk mengawal dan mengukur aspek tertentu yang membuat sentuhan terasa geli.

Dalam kajian tersebut, peserta meletakkan kaki mereka melalui lubang pada sebuah platform, di mana sebuah kayu mekanikal digunakan untuk menggeli tapak kaki mereka.

Difahamkan, aktiviti otak dan pelbagai reaksi diperhatikan ketika kajian dijalankan.

Ada peserta yang ketawa tanpa kawalan, ada yang terkejut dan menarik diri, manakala sesetengah peserta langsung tidak terkesan.

Walaupun Aristotle percaya bahawa sensasi geli adalah unik kepada manusia, kajian menunjukkan bahawa tikus dan kera besar juga boleh merasanya.

Ini menandakan bahawa sensasi ini mungkin mempunyai asas evolusi.

Kilteni menjelaskan bahawa salah satu teori kewujudan sensasi geli berkaitan dengan fungsi sosial, kerana ia membantu mengeratkan hubungan antara individu melalui gelak tawa.

Menurut portal The Scientist, teori lain pula mencadangkan bahawa tindak balas geli adalah refleks perlindungan, yang membantu badan bertindak balas terhadap sentuhan tidak dijangka di kawasan tertentu.

Kenapa seseorang hampir mustahil menggeletek diri sendiri?

Kilteni memaklumkan otak memproses sentuhan sendiri secara berbeza berbanding sentuhan oleh orang lain.

Apabila seseorang menyentuh wajah sendiri, korteks somatosensorik mencatat sentuhan itu pada tahap lebih rendah kerana cerebellum, bahagian otak yang meramalkan pergerakan telah menjangkakan sensasi tersebut dan menghalang refleks geli berlaku.

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa individu dengan skizofrenia mempunyai aktiviti saraf yang berkurang di kawasan berkaitan sentuhan sendiri.

Difahamkan, keadaan ini menjadikan mereka lebih mudah menggeletek diri sendiri.

Penyelidik percaya fenomena ini mungkin berpunca daripada gangguan dalam mekanisme jangkaan otak dan berkaitan dengan keterukan halusinasi, di mana individu menganggap sentuhan sendiri sebagai sesuatu yang asing.

Walaupun pelbagai hipotesis telah dikemukakan, banyak perkara mengenai sensasi geli masih belum difahami.

Dalam masa sama. Kilteni terus meneliti misteri ini dan menyifatkan ia sebagai satu teka-teki besar dalam bidang neurosains.