Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Berpeluh Darah Tanpa Luka, Ini Penjelasan Tentang Hematohidrosis
Di dunia perubatan, terdapat pelbagai fenomena yang pelik dan jarang didengari oleh orang ramai.
Sesetengahnya boleh menimbulkan rasa kagum, manakala ada juga yang agak menakutkan.
Walaupun jarang berlaku, pengetahuan tentang fenomena sebegini penting supaya kita lebih berwaspada dan faham bahawa tubuh manusia kadang-kadang boleh menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa.
Salah satu contoh fenomena klinikal yang sangat jarang ditemui ialah hematohidrosis, keadaan di mana seseorang boleh berpeluh darah.
Menurut National Library of Medicine, hematohidrosis ialah satu keadaan perubatan yang sangat jarang berlaku, di mana seseorang boleh berpeluh darah.
Fenomena ini sebenarnya telah lama direkodkan dalam sejarah, termasuk catatan Leonardo Da Vinci tentang seorang askar yang berpeluh darah sebelum berperang.

Keadaan ini boleh berlaku akibat beberapa faktor seperti penyakit tertentu, keletihan fizikal melampau, gangguan psikologi, tekanan emosi yang teruk atau punca yang tidak dapat dikenal pasti.
Salah satu kes yang dilaporkan oleh National Library of Medicine melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang mendapati pakaian dalamnya kerap bertompok darah di bahagian perut selama beberapa bulan, terutamanya pada waktu pagi.
Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan, penyakit darah, jangkitan atau pendarahan dari saluran kencing dan dubur.
Ujian makmal mengesahkan tompokan tersebut ialah darah, manakala penilaian psikiatri mendapati beliau mengalami gangguan kemurungan akibat tekanan emosi yang berpanjangan.

Berdasarkan keadaan klinikal dan keputusan ujian, doktor mengesahkan bahawa beliau mengalami hematohidrosis.
Pesakit tidak diberikan rawatan ubat khusus, sebaliknya hanya menjalani kaunseling dan keadaannya beransur pulih.
Dari sudut perubatan, National Library of Medicine menjelaskan bahawa hematohidrosis dipercayai berlaku apabila salur darah halus di sekitar kelenjar peluh pecah akibat tekanan fizikal atau emosi yang melampau.
Difahamkan, ia menyebabkan darah keluar bersama peluh ke permukaan kulit.
Tekanan emosi yang kuat boleh mengaktifkan tindak balas “lawan atau lari” dalam badan, seterusnya menyebabkan salur darah mengembang secara mendadak sehingga berlaku pendarahan kecil.

Selain itu, ada juga pandangan yang menyatakan struktur kulit sesetengah individu mungkin lebih lemah, menyebabkan darah lebih mudah meresap ke permukaan kulit dalam keadaan tertentu.
Walaupun keadaan ini kelihatan menakutkan, kebanyakan kes menunjukkan hubungan rapat antara faktor psikologi dan kejadian berpeluh darah.
Oleh itu, rawatan yang memfokuskan kepada kesihatan mental sering membantu mengurangkan atau menghentikan simptom tersebut.