Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Grab Malaysia telah memperluas Grab Green Programme, melalui kerjasama baharu dengan dua inisiatif pemuliharaan tempatan terkemuka, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut di Sabah dan Projek Pemuliharaan Paya Bakau dan Mamalia Marin WWF Malaysia di Sarawak, sekali gus menegaskan semula komitmennya terhadap perlindungan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti.
Grab Green Programme membolehkan pengguna mengambil tindakan sukarela, mudah dan kolektif dalam menangani kesan perubahan iklim. Melalui pilihan opt-in di aplikasi Grab, pengguna boleh menyumbang sehingga RM0.20 bagi setiap perjalanan, atau bagi setiap pesanan di GrabFood atau GrabMart.
Sumbangan kecil ini kemudiannya dikumpul dan disalurkan melalui pembelian kredit karbon yang diperakui atau dalam bentuk sumbangan bagi membiayai projek alam sekitar yang berimpak tinggi di Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara.
Usaha pemuliharaan ini merangkumi pemuliharaan hutan dan paya bakau serta perlindungan spesis terancam.
"Di Grab, kami percaya bahawa kelestarian bermula dengan usaha kolektif. Grab Green Programme memudahkan semua pihak, daripada pengguna harian kepada rakan pemandu dan rakan peniaga, untuk memainkan peranan dalam melindungi khanazah semula jadi di Malaysia dan di seluruh rantau ini."
"Kerjasama kami dengan organisasi pemuliharaan tempatan mencerminkan komitmen berterusan Grab untuk mewujudkan impak nyata yang boleh diukur dalam komuniti dan persekitaran di mana kami beroperasi," kata Adelene Foo, Pengarah Urusan Grab Malaysia.
Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut melindungi seluas 83,381 hektar hutan hujan di Sabah.
Ia merupakan projek karbon berasaskan alam semula jadi pertama yang diperakui di Malaysia dan antara projek seumpamanya yang menerima penarafan tinggi di peringkat global.
Melalui perlindungan dan pemulihan hutan yang diperakui di bawah Verra Verified Carbon Standard, projek ini berjaya mengelak dan menyingkirkan secara purata sebanyak 800,000 tan setara karbon dioksida (tCO2e) setiap tahun.
Selain daripada pengurangan karbon, projek ini turut melindungi sekurang-kurangnya 30 spesis terancam, di samping berusaha menyokong kesejahteraan dan meningkatkan pelbagai peluang bagi penduduk tempatan yang tinggal berhampiran tapak projek.

Projek Pemuliharaan Paya Bakau dan Mamalia Marin di Sarawak bertumpu pada pemuliharaan ekosistem paya bakau penting serta ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris) yang terancam di kawasan Delta Rajang-Belawai-Paloh.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengelakkan kehilangan paya bakau, memulihkan kawasan yang terjejas, serta memperkukuh pemerkasaan komuniti pesisir dalam pemuliharaan bagi memastikan kesejahteraan jangka panjang ekosistem pesisir dan marin di Malaysia.
Di samping itu, Grab Green Programme juga menyokong projek karbon hutan yang diiktiraf tinggi di rantau ini dengan sumbangan kolektif daripada para pengguna.
Sebagai contoh, Grab menjalin kerjasama dengan Wildlife Conservation Society (WCS) untuk membantu memelihara Keo Seima Wildlife Sanctuary di Kemboja, sebuah kawasan pemuliharaan seluas 290,000 hektar yang berpaksikan projek REDD+ seluas 167,000 hektar, yang memberikan manfaat yang disahkan di bawah piawaian Verified Carbon Standard (VCS) serta Climate, Community and Biodiversity (CCB).
Kawasan perlindungan ini juga melindungi lebih daripada 80 spesis terancam dan menentang penebangan hutan di samping menyokong komuniti penduduk pribumi tempatan.
Inisiatif kelestarian menyeluruh Grab juga memanfaatkan skala platform digitalnya di seluruh Asia Tenggara untuk meningkatkan kesedaran mengenai sikap penggunaan bertanggungjawab dan memudahkan semua pihak untuk mengamalkan gaya hidup mesra alam.
Di Malaysia, pengguna boleh menolak pemberian kutleri sekali guna dengan pesanan makanan mereka bagi mengurangkan pembaziran yang tidak perlu, manakala kerjasama dengan KLEAN membolehkan pengguna mengitar semula bekas plastik, botol, dan tin aluminium di Reverse Vending Machines (RVM), yang mana mereka diberi baucar Grab sebagai ganjaran, bagi menyokong matlamat negara mencapai sifar sisa pembungkusan menjelang 2040.
Grab Malaysia juga telah melancarkan barisan kenderaan elektrik pertamanya yang dikhususkan untuk perjalanan ulang-alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menggunakan MPV elektrik tujuh tempat duduk BYD M6 serta menyediakan ruang rehat EV khusus untuk para penumpang.
Inisiatif ini, yang selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, membolehkan pelanggan memilih perjalanan rendah pelepasan, di samping melengkapi kerjasama serantau Grab dengan BYD, Yinson GreenTech, dan Power-Up Tech untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik dan mempercepatkan peralihan ke pengangkutan rendah karbon.
Melalui jalinan kerjasama ini, Grab Malaysia terus memperkukuh visi kelestariannya dengan menyokong projek-projek berimpak tinggi yang dipercayai, yang memberikan manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.
Selain menyumbang kepada projek alam sekitar, inisiatif ini turut membantu memelihara biodiversiti, memperkukuh mata pencarian komuniti setempat, dan menggalakkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Dengan memperkasa pengguna dan rakan perniagaan untuk mengambil tindakan bermakna, sama ada melalui pengitaran semula bersama KLEAN, memilih perjalanan rendah pelepasan ke atau dari lapangan terbang, atau menyumbang kepada Grab Green Programme,Grabmembuktikan bahawa usaha kolektif mampu mencipta impak yang nyata dan boleh diukur.