Utama

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Matlamat dalam kehidupan sudah tentu berpaksikan kepada masa hadapan. Setiap langkah dan perancangan, semestinya meletakkan harapan mendapatkan masa hadapan yang cerah.
Berikutan itu, ramai belia yang berangan-angan untuk berhijrah dari kampung untuk mencari kerja di bandar.
Namun, tidak semua kampung ketandusan potensi untuk masa hadapan anak muda.
Di Jerantut, Pahang, sebuah kampung membuktikan peluang untuk menjana pendapatan sentiasa terbuka luas kepada penduduknya.
Terletak di pintu masuk Taman Negara Pahang, Kampung Kuala Tahan kekal relevan sebagai komuniti pelancongan.
Kedudukan strategik ini menjadikan kampung berkenaan bergantung kepada ekopelancongan sejak sekian lama.

Kebanyakan penduduk terlibat secara langsung dalam sektor tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman, sekurang-kurangnya seorang ahli dalam setiap keluarga terlibat dalam ekopelancongan di sana.

Katanya, penduduk menawarkan perkhidmatan inap desa, chalet, rumah tamu, pemandu bot dan pemandu pelancong.
Ada juga yang bekerja sebagai pekerja resort sekali gus menjadikan industri ini menjadi sumber pendapatan utama, termasuk golongan muda.

Namun, kelangsungan industri pelancongan di Kampung Kuala Tahan bukan hanya bergantung kepada alam semula jadi, sebaliknya turut memerlukan kemudahan komuniti yang lancar dan berfungsi dengan baik.
Dalam memastikan aktiviti pelancongan terus berkembang, kemudahan asas komuniti turut diberi perhatian bermula dengan kerja-kerja menaik taraf masjid di kampung tersebut.
Usaha ini dilaksanakan di bawah projek Kampung Angkat MADANI (KAM) oleh Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Jabatan PERHILITAN yang menggunakan peluang ini bagi memperkenalkan konsep tenaga hijau.
Langkah ini turut menaikkan imej kampung yang pelancongnya terdiri daripada pencinta alam.
KAM merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan memperkasa komuniti luar bandar melalui peningkatan kemudahan asas, pembangunan ekonomi setempat dan pendekatan yang mampan.
Di Kampung Kuala Tahan, pendekatan ini diterjemahkan secara praktikal melalui penambahbaikan kemudahan komuniti yang menjadi nadi kehidupan penduduk, bermula dengan masjid kampung.
Proses baik pulih Masjid Kampung Kuala Tahan melibatkan ruang wuduk, tandas dan pendawaian elektrik baharu.
Masjid berkenaan turut menjadi perintis kepada penggunaan tenaga solar dalam komuniti tersebut.
Semenjak panel solar dipasang, bil elektrik masjid didapati berkurang sekitar RM400 sebulan.
Penjimatan itu memberi kesan besar kepada kelancaran operasi masjid.

Menurut Jalil, lebihan dana sumbangan kini disalurkan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kerohanian.
Semakin banyak aktiviti kerohanian dijalankan apabila ruang masjid semakin luas dan selesa selain penjimatan kos operasi turut dinikmati.
Katanya, program yang melibatkan komuniti di sekitar kawasan ini dianjurkan hampir setiap minggu dengan kehadiran jemaah juga semakin meningkat berbanding sebelum ini.
Pengerusi Masjid, Haji Abdullah Manan memaklumkan, manfaat itu bukan sahaja dinikmati penduduk setempat, malah musafir yang singgah kini dapat beribadah dengan lebih selesa.

Kemudahan yang baik menjadikan masjid sebagai pusat komuniti, bukan sekadar tempat beribadah.
Pengunaan tenaga solar dilihat selari dengan hala tuju ekopelancongan kampung tersebut.
Tambah Jalil, pengemudian hala tuju kampung ke arah ekopelancongan yang melibatkan renewable energy dengan mendahulukan penggunaan di masjid adalah sangat bertepatan.
Daripada pemerhatian Siakap Keli, usaha ini umpama pasak tunjang perancangan pembangunan jangka panjang buat komuniti di sini.
Jika sekarang, penggunaan tenaga solar di masjid sudah menampakkan hasilnya, mungkin satu hari nanti lebih banyak tempat lain menggunakan solar, atau teknologi renewable energy lain.
Ia sekali gus menaikkan imej kampung di mata pelancong dari serata dunia.
Selain daripada masjid, fasiliti sukan kampung berkenaan turut dinaik taraf. Gelanggang futsal yang sebelum ini uzur, kini kembali digunakan.
Wakil belia merangkap Pembantu Hidupan Liar Kampung Kuala Tahan, Masri Mat Isa berkata, gelanggang tersebut digunakan hampir setiap petang dan malam.

Usaha menaik taraf fasiliti ini menerima sambutan yang menggalakkan.
Difahamkan, komuniti belia di sana sudah mempunyai perancangan aktiviti pertandingan futsal yang bakal dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini.
Penganjuran ini membuka peluang perniagaan buat komuniti peniaga gerai yang rata-rata dijalankan oleh generasi muda.
Bukan itu sahaja, usaha ini menggalakkan golongan muda berinteraksi dengan pelancong menerusi aktiviti futsal.

Berdasarkan makluman Jalil, sekitar 120,000 pelancong direkodkan pada tahun 2024. Ketika itu, fasiliti sedia ada tidak mampu menampung keperluan pelancong.
Namun, dengan perubahan yang berlaku, komuniti tersebut lebih bersedia untuk menerima jumlah pelancong yang lebih ramai.
Peluang pekerjaan yang lebih banyak juga dapat diwujudkan kepada penduduk setempat, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan mereka.
Menurut Masri pula, ramai anak muda memilih untuk kekal di kampung. Mereka berhasrat untuk meneruskan industri ekopelancongan yang dilihat semakin stabil.
Lebih menarik, perubahan yang bermula dari masjid di kampung ini, menjadi titik permulaan kepada penggunaan tenaga yang lebih mampan.
Jika usaha ini diperluaskan ke fasiliti lain, manfaatnya dijangka lebih banyak dapat dirasai penduduk serta pelancong.
Malah, pendapatan serta keuntungan juga akan berlipat kali ganda menerusi penjimatan bil elektrik selain menyalurkan kewangan tersebut kepada program atau aktiviti lain untuk orang kampung.
Transformasi yang berlaku di Kampung Kuala Tahan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KAM, yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti secara menyeluruh dan mampan di seluruh negara.
Jadi, bagi anak muda yang masih berfikir soal kerja di kampung atau bandar, Kampung Kuala Tahan membuktikan kejayaan tidak semestinya berada di bandar. Di kampung juga terbuka luas ruang untuk mencari rezeki!