Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Namron Kongsi Kenangan Bersama Along Eyzendy, "Voice Note" Jadi Pengubat Rindu
Pemergian pelakon Along Eyzendy meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan teman terdekat, tetapi juga bagi rakan-rakan penggiat seni yang lain.
Namron tidak terkecuali, dia telah membuat coretan istimewa mengenai arwah Along di Facebook miliknya pada Selasa.
Pelakon dan pengarah itu berkata bahawa dia baru mempunyai kekuatan untuk menulis mengenai arwah.
Menurutnya, dia mula mengenali Along ketika di Akademi Seni Kebangsaan.
"Along Eyzendy adalah junior saya masa belajar di Akademi Seni Kebangsaan. Dia mula mula masuk sebagai pelajar muzik. Alat muziknya ketika itu adalah trumpet.
"Walaupun sebagai pelajar muzik, dia sangat rapat dengan pelajar-pelajar teater. Hingga akhirnya dia telah menukar aliran.
"Dari muzik dia masuk teater kerana minatnya yang mendalam dalam lakonan.
"Ketika saya mementaskan teater Look Back In Anger karya John Osborne, Along menjadi peniup trumpet di belakang pentas. Watak Jimmy lakonan Dr. Rosdeen Suboh memerlukannya meniup trumpet tapi dia bukan peniup trumpet.
"Jadi setiap kali watak Jimmy meniup trumpet, tiupan itu datang dari Along di belakang pentas. Dr Rosdeen hanya menggayakannya sahaja," katanya.
Bercerita lanjut, Along juga pernah membintangi teater arahannya iaitu GEDEBE yang diadaptasi dari karya Shakespeare.
"Along membawa watak Cassius bergandingan dengan Zul Huzaimy. Along dengan jayanya membawa watak Cassius. Banyak feedback positif dari penonton. Bakatnya mula diperhati.
"Ketika saya mengangkat naskah GEDEBE ke skrin, Along dan Zul masih dikekalkan. GEDEBE menjadi Filem indie pertama saya begitu juga dengan Along (filem pertamanya)," katanya.
"Dia juga pernah menjadi Mat Derih Kola Perlih saya, di dalam teater MATDERIHKOLAPERLIH. Selain dari saya hanya dia yang pernah membawa watak ini (di bawah arahan saya).
"Lakonan terakhirnya dengan saya pula adalah dalam Crossroad: One Two Jaga. Dia membawa watak Zul, seorang polis korup. Watak asalnya hanya ada satu babak sahaja tetapi telah dikembangkan menjadi watak pembantu.
"Filem lakonannya ini juga telah dipilih menjadi filem terbaik di FFM30," ujarnya.
Namron berkata dia tidak hanya mengenali Along sebagai seorang pelakon tetapi juga secara peribadi.
Baginya, Along seorang yang baik dan sepanjang mengenalinya, arwah tidak pernah meninggikan suara.
"Dia sangat mesra. Orang putih kata warm person. Saya tak rasa bosan kalau dia ada bersama. Sangat soft spoken orangnya.
"Cara dia melayan saya pula tak rasa seperti sebagai kawan tapi lebih kepada abang. Saya boleh anggap dia manja dengan saya. Suka bergurau dan kena pada tempatnya.
"Semalam saya belek-belek balik perbualan saya dengan Along di Whatapps. Ada satu klip audio dari dia yang membuatkan saya tersenyum sendirian.
"Saya masih ingat, ketika tu PKP dikenakan. Along buat bisnes F&B online. Dia jual Daging Masak Hitam melalui syarikatnya Cengkih Maneh Global. Saya order dan dia buat delivery.
"Dia datang hantar borak kejap selepas itu dia gerak. Tak lama selepas itu dia hantar voice note ni," katanya.
Bila mendengar semula audio tersebut, Namron berkata dia merasakan seolah-olah Along ada dekat dengannya.
Terdahulu, Along Eyzendy disahkan meninggal dunia pada Ahad, jam 12.16 pagi.
Arwah sebelum itu telah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang susulan pendarahan serius dalam perut.