Utama

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

PBB Beri Amaran Tentang Kitaran Tindakan Balas Selepas AS Bom Iran
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran pada Ahad (23 Jun) mengenai kemungkinan berlakunya “satu lagi kitaran kemusnahan” dan tindakan balas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, yang menurutnya merupakan satu “perubahan yang berbahaya” di rantau tersebut.
“Saya telah berulang kali mengecam sebarang bentuk eskalasi ketenteraan di Timur Tengah.
“Rakyat di rantau ini tidak mampu menanggung satu lagi kitaran kemusnahan. Namun, kita kini berisiko terjerumus ke dalam kitaran balas-membalas yang tidak berkesudahan,” katanya semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB.
Sementara itu, Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, menyeru semua pihak agar bertindak dengan berhemah, sambil menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan konflik itu semakin melebar.
“Kita masih ada ruang untuk kembali ke meja rundingan dan diplomasi. Sekiranya ruang ini tertutup, keganasan dan kemusnahan boleh mencapai tahap yang tidak terfikir, dan sistem kawalan senjata nuklear dunia yang kita kenali hari ini mungkin akan runtuh,” katanya.
Bercakap kepada Majlis Keselamatan menerusi pautan video, Grossi memaklumkan terdapat kawah-kawah jelas kelihatan di kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, yang menunjukkan penggunaan peluru penembus tanah oleh AS.
Namun begitu, beliau menyatakan bahawa tiada pihak dapat menilai tahap kerosakan di bahagian bawah tanah di Fordow.
Beliau turut menegaskan bahawa “serangan bersenjata ke atas kemudahan nuklear tidak sepatutnya berlaku sama sekali, kerana ia berisiko menyebabkan pelepasan radioaktif yang boleh membawa kesan serius dalam dan luar negara yang diserang”.
Pada Ahad, Rusia, China dan Pakistan telah mengedarkan draf resolusi bersama anggota majlis lain yang menggesa “gencatan senjata segera” di Iran.
Teks resolusi itu, yang dilihat oleh AFP, turut “mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap tapak dan kemudahan nuklear yang aman”.
Namun, Majlis Keselamatan dilihat sangat berpecah pendapat. Beberapa anggota lain seperti Perancis dan Britain pula menggesa Iran agar bertindak secara berhemah.
Di sisi lain, Duta Israel ke PBB pula menolak resolusi yang dicadangkan itu.
“AS dan Israel tidak sepatutnya dikecam, sebaliknya patut dihargai dan diberi penghargaan kerana telah menjadikan dunia ini lebih selamat,” kata Danny Danon.
Wakil tetap Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani, mengecam AS kerana “sekali lagi menggunakan kekerasan secara haram”.
Beliau berkata Washington telah “melancarkan perang ke atas negara saya atas alasan yang direka dan tidak masuk akal: Kononnya untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear”.
BACA: Houthi Umum Sedia Serang Kapal AS Di Laut Merah Susulan Serangan Ke Atas Iran
Sumber: AFP