Rebah Secara Tiba-Tiba, Pemain Fiorentina Edoardo Bove Dilapor Stabil
Pemain tengah Fiorentina Edoardo Bove dilaporkan dalam keadaan stabil selepas rebah secara tiba-tiba dalam perlawanan menentang Inter Milan, lapor SportStar.
Perkara itu disahkan oleh kelab dari Itali itu, selepas dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Careggi, Florence.
“Ujian kardiologi dan neurologi awal menolak kemungkinan kerosakan teruk pada sistem saraf pusat dan kardiovaskular,” menurut Fiorentina dalam satu kenyataan bersama hospital.
Difahamkan, Edoardo akan dipantau semula dalam tempoh 24 jam akan datang dan kini berada bersama ahli keluarga.
Detik-detik Edoardo rebah
Dalam perlawanan semalam, pemain berusia 22 tahun itu secara tiba-tiba jatuh di tepi padang pada minit ke-16.
Insiden terbabit menyebabkan pertembungan antara Fiorentina dan juara Inter Milan terpaksa ditangguhkan ketika kedua-dua pasukan masih terikat 0-0.
Bagaimanapun, tiada sebarang makluman berhubung tarikh pertembungan kedua-dua pasukan dijadualkan buat masa ini.
Dalam pada itu, bekas kelab Edoardo, Roma turut memberi sokongan berhubung insiden itu.
“Salah seorang dari kami, kami semua bersama anda. Forza Edo!” kata Roma dalam dalam satu hantaran.
Tragedi Edoardo mengingatkan kembali terhadap Christian Eriksen yang rebah perlawanan Kejohanan Eropah (EURO) 2020 antara Denmark dan Finland, termasuk kapten Fiorentina Davide Astori yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Mac 2018.
Sumber: SportStar
BACA: Lelaki Redah Banjir, Selamatkan Banyak Kucing Terkurung Dalam Sangkar
BACA: Banjir: Korban Meningkat Kepada Enam, Jumlah Mangsa Di Seluruh Negara Berkurang
BACA: Petugas Barisan Hadapan ‘Rempuh’ Banjir Untuk Sampai Ke Tempat Kerja, Raih Doa Ramai