Pengacara Majlis Buat Pengantin ‘Rugi’, Rupanya Ini Kisah Sebenar
Baru-baru ini, seorang pempengaruh muda bernama Zhiddin Aziz telah menarik perhatian ramai.
Dalam satu hantaran reels di Instagram (@zhiddinazizz), Zhiddin berkongsi pengalaman sebagai pengacara di sebuah majlis perkahwinan.
Ketika bertemu pasangan pengantin untuk membincangkan butiran majlis, Zhiddin diberikan kad yang bakal diedarkan kepada para tetamu.
Namun, sekilas pandang pada kad tersebut, Zhiddin meluahkan rasa ‘terkejut’.
“Eh bang, besar bajet abang untuk tetamu ni. Iyalah, siap ada pemandu untuk ambil tetamu”
Katanya, pasangan pengantin itu jelas ‘terpinga-pinga’, keliru mendengar komen Zhiddin.
Mana tidaknya, belum pernah dibuat orang majlis perkahwinan yang menyediakan pemandu khas untuk menjemput para tetamu dari rumah.
Rupa-rupanya, kekeliruan ini berpunca daripada frasa “kad jemputan” yang tertulis pada kad tersebut.
Menurut Zhiddin, dalam penggunaan bahasa yang tepat, istilah “jemputan” membawa maksud bahawa tuan rumah berhasrat untuk menjemput tetamu dari rumah mereka ke lokasi majlis.
Sebaliknya, jika pengantin tidak berhasrat sedemikian, penggunaan perkataan “jemputan” itu adalah tidak sesuai.
“Inilah kerugian yang saya maksudkan. Pada hari majlis, mereka mencetak semula kad undangan tersebut,” kongsi Zhiddin.
“Hilang bahasa, lenyap bangsa”
Jelas Zhiddin, perkara ini bukanlah kesalahan yang besar kerana ia sering dianggap sebagai ‘kesalahan biasa’ oleh kebanyakan orang.
“Namun, pada hemat bahasa kita, serta pandangan munsyi bahasa dan cendekiawan bahasa, ia sebenarnya merupakan ‘kesalahan luar biasa’.
“Maka, diingatkan kepada bakal pengantin, jika berhasrat untuk menjemput atau mengambil tetamu dari rumah mereka, tulislah ‘kad jemputan’.
“Namun, jika tiada hasrat sebegitu, lebih tepat untuk menulis ‘kad undangan’,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Zhiddin menegaskan bahawa bahasa bukan sekadar susunan kata, tetapi ia adalah cerminan tanggungjawab kita.
https://www.instagram.com/p/DDpDgWVPU-R/
Untuk penjelasan lanjut mengenai perbezaan antara perkataan “mengundang” dan “menjemput”, pembaca boleh merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.
Semoga bermanfaat.
BACA: Ini Kos & Anggaran Keuntungan Buka Vending Machine
BACA: Ingatkan Nak Marah, Gelagat Bapa Join Anak Joget Sakan Buat Ramai Geli Hati
BACA: Ini Reaksi Rakyat China Tengok Tarian Tradisional Melayu
Sumber: Zhiddin Aziz via Instagram, DBP