8 Barang Yang Ramai Suka Simpan Tetapi Sebenarnya Bahaya
Sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan kita untuk menyimpan pelbagai jenis barangan di rumah dengan alasan tertentu.
Ada yang ingin berjimat, ada juga yang beranggapan bahawa barang tersebut mungkin akan berguna pada masa akan datang.
Sama ada barangan lama, barangan terpakai mahupun lebihan daripada kegunaan harian, semua ini sering dikumpulkan dan diletakkan di sudut rumah tanpa dipedulikan.
Namun begitu, tanpa disedari terdapat sebahagian daripada barangan yang disimpan ini sebenarnya boleh mendatangkan risiko tersembunyi yang serius terhadap kesihatan dan keselamatan seisi keluarga.
Risiko ini mungkin tidak ketara pada awalnya, tetapi boleh membawa kesan yang buruk dalam jangka masa panjang.
Terutamanya jika barang tersebut tidak disimpan dengan betul, telah tamat tempoh, rosak, atau berada dalam keadaan yang boleh mencetuskan kemalangan.
Oleh itu, penting untuk kita mengenal pasti dan menilai semula barangan yang biasa kita simpan di rumah.
Berikut merupakan lapan jenis barang yang ramai suka simpan dalam kediaman, tetapi sebenarnya perlu diberi perhatian serius sebelum ia menjadi punca kepada insiden yang tidak diingini atau mengundang bahaya secara senyap.
1. Ubat-ubatan tamat tempoh
Menyimpan baki ubat lama seperti ubat demam, batuk atau antibiotik untuk kegunaan kecemasan sememangnya satu tabiat yang biasa.
Namun, ramai tidak menyedari bahawa ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput bukan sahaja boleh kehilangan keberkesanan malah berisiko menjadi toksik.
Mengambil ubat tamat tempoh tanpa nasihat doktor juga boleh memburukkan keadaan kesihatan dan menyebabkan tindak balas yang tidak diingini.
Oleh itu, adalah penting untuk anda menyemak tarikh luput ubat secara berkala dan membuang ubat yang telah luput dengan cara yang selamat.
Bukan dengan cara ianya dibuang ke dalam sinki atau tong sampah biasa, tetapi dihantar ke farmasi atau pusat pelupusan ubat yang betul.
2. Minyak masak terpakai
Ramai orang memilih untuk menyimpan minyak masak yang telah digunakan untuk beberapa kali penggorengan kerana ingin berjimat.
Namun, penggunaan minyak secara berulang kali boleh menyebabkan pembentukan radikal bebas dan bahan kimia berbahaya hasil dari pengoksidaan.
Ini boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti kanser dan masalah kardiovaskular.
Sebaiknya, hadkan penggunaan minyak kepada dua hingga tiga kali sahaja. Pastikan minyak disimpan dalam bekas bertutup yang tidak telus cahaya serta jauh daripada sumber haba bagi mengelakkan pencemaran.
Jika minyak sudah menjadi terlalu gelap, berbuih atau berbau tengik, ia perlu dibuang segera.
8 Barang di Rumah Yang Yang Bahaya Tetapi Ramai Suka Simpan
3. Wayar rosak dan peralatan elektrik lama
Selain itu, peralatan elektrik seperti pengecas telefon yang rosak, kabel terkopek atau alatan yang sudah tidak berfungsi sering kali disimpan dengan harapan boleh dibaiki atau digunakan semula.
Namun, barangan seperti ini sangat berisiko kerana boleh menyebabkan litar pintas, kejutan elektrik atau kebakaran, terutamanya jika digunakan tanpa pemeriksaan keselamatan.
Sebaiknya, anda perlu periksa semua kabel dan peralatan elektrik secara berkala. Sekiranya terdapat sebarang kerosakan seperti dawai terdedah atau bau hangit ketika digunakan, ia perlu diganti serta-merta.
Jangan kompromi terhadap keselamatan hanya kerana ingin berjimat.
4. Bateri lama atau bocor
Antara lain, bateri yang sudah tidak digunakan terutama yang bocor atau sudah kembung masih sering disimpan dalam laci atau kotak stor.
Bateri yang sudah bocor boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya seperti asid yang bukan sahaja merosakkan permukaan tempat penyimpanan, tetapi juga membahayakan kulit dan pernafasan jika terdedah dalam jangka masa panjang.
Bagi mengelakkan risiko ini, semua bateri lama hendaklah dikumpulkan dan dihantar ke pusat kitar semula khas untuk barangan elektronik.
Elakkan sama sekali membuangnya ke dalam tong sampah biasa kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar.
5. Kosmetik dan produk penjagaan kulit tamat tempoh
Ramai yang gemar menyimpan alat solek dan produk penjagaan kulit yang sudah lama digunakan atas alasan sayang untuk buang terutamanya jika ia masih kelihatan ‘elok’ atau mahal.
Namun, produk yang telah melepasi tempoh penggunaan boleh mengandungi bakteria, mengubah struktur bahan kimia dan seterusnya menyebabkan kerengsaan pada kulit.
Adalah penting untuk kita sentiasa menyemak tarikh luput pada setiap produk, dan mengambil kira simbol ‘PAO’ (period after opening) yang biasanya menunjukkan berapa lama produk boleh digunakan selepas dibuka.
Jika terdapat perubahan bau, warna atau tekstur, produk tersebut haruslah dibuang dengan segera demi kesihatan kulit anda.
BACA : Cuci Mesin Basuh Sendiri, 6 Tip Jimat & Cara Berkesan
6. Makanan dalam tin kemek atau berkarat
Makanan dalam tin yang sememangnya praktikal kerana tahan lama dan mudah disimpan. Namun begitu, jika tin tersebut kemek, bocor atau berkarat, ia boleh menyebabkan pencemaran bakteria seperti Clostridium botulinum.
Bakteria ini boleh menghasilkan toksin yang berbahaya dan boleh membawa maut. Keadaan fizikal tin memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan kandungan di dalamnya.
Oleh itu, elakkan menyimpan makanan dalam tin yang rosak walaupun belum tamat tempoh.
Sebaiknya, semak keadaan fizikal tin sebelum membeli dan simpan dalam tempat kering serta jauh daripada haba untuk memastikan ia tidak mudah rosak.
7. Produk kimia rumah tangga tanpa label
Peluntur, racun serangga dan bahan pencuci keras sering dipindahkan ke dalam botol terpakai seperti botol air mineral tanpa sebarang label atas tujuan memudahkan penggunaan atau penjimatan ruang.
Namun, ini adalah satu kesilapan besar kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan. Khususnya kepada kanak-kanak atau warga emas yang mungkin tersalah anggap ia sebagai minuman.
Bahan kimia ini juga boleh menyebabkan luka kulit, keracunan atau kesan jangka panjang jika terdedah secara berterusan.
Pastikan semua bahan kimia disimpan dalam bekas asal yang berlabel dengan jelas dan jauh dari capaian kanak-kanak untuk keselamatan semua pihak.
8. Kertas dan surat khabar bertimbun
Timbunan surat khabar lama, kertas kerja dan risalah yang tidak diurus sering kali dijadikan tempat pembiakan lipas, serangga perosak dan tikus.
Selain itu, ia juga merupakan bahan mudah terbakar yang boleh meningkatkan risiko kebakaran terutama jika diletakkan berhampiran sumber elektrik atau dapur. Oleh itu, penting untuk mengurus timbunan kertas secara berkala.
Seelokya, buat semakan dan asingkan kertas yang masih diperlukan, manakala selebihnya boleh dikitar semula.
Menjaga kebersihan kawasan penyimpanan kertas bukan sahaja menjadikan ruang lebih kemas, tetapi juga mengurangkan risiko kepada kesihatan dan keselamatan.
Oleh itu, penting untuk kita mengenal pasti barangan mana yang benar-benar berguna dan mana yang patut dilupuskan dengan segera.
Rumah yang selamat dan sihat bukan sahaja bebas daripada kekotoran fizikal tetapi juga bebas daripada risiko tersembunyi yang boleh membahayakan ahli keluarga tanpa disedari.
BACA : Tidur Pakai Earfon: Nampak Biasa, Tapi Berisiko