Pasukan Penyelamat Indonesia Temukan 15 Mayat Mangsa Banjir Kilat Di Papua Barat
JAKARTA, 23 Mei (Bernama) — Pasukan penyelamat Indonesia menemukan 15 mayat selepas banjir kilat yang melanda sebuah tapak perlombongan emas terpencil di Pergunungan Arfak, Papua Barat, dengan empat lagi mangsa masih dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Bencana itu melanda perkampungan Jim di daerah Catubouw pada 16 Mei, selepas hampir tujuh jam hujan lebat.
“Mayat mangsa ditemukan secara berperingkat dalam tempoh beberapa hari.
“Lapan daripada mereka telah dikenal pasti, manakala tujuh lagi masih belum dikenal pasti dan dihantar ke Hospital Polis Bhayangkara untuk pemeriksaan,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Seorang pelombong yang pada awalnya dilaporkan hilang, kemudian ditemukan selamat di sebuah kampung berhampiran.
Abdul Muhari berkata, usaha mencari mangsa yang masih hilang sedang diteruskan dengan bantuan pasukan kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), tentera, polis dan sukarelawan.
“Operasi menyelamat menghadapi kesukaran disebabkan bentuk muka bumi yang mencabar, keadaan cuaca tidak menentu, arus sungai yang deras dan kekurangan peralatan komunikasi.
“Suhu pada waktu malam yang rendah di kawasan pergunungan turut menjejaskan ketahanan fizikal anggota pasukan penyelamat yang terlibat,” katanya.
Sumber: BERNAMA