Utama

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

8 Rahsia Makan Sihat di Kedai Mamak Tanpa Rasa Bersalah
Sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk menjadikan kedai mamak sebagai tempat lepak, makan malam atau sekadar mengisi perut selepas waktu kerja.
Keunikan hidangan seperti roti canai, nasi kandar dan teh tarik menjadikan restoran mamak sangat dekat di hati tidak kira bangsa atau latar belakang.
Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa sebahagian besar pilihan menu yang ditawarkan mengandungi kandungan lemak, gula dan garam yang agak tinggi.
Kebanyakan hidangan ini juga dimasak menggunakan kaedah yang kurang sihat seperti menggoreng dengan minyak yang banyak.
Ini boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan dan berterusan. Walau bagaimanapun, jika anda sedang cuba mengamalkan gaya hidup lebih sihat, ia tidak bermakna anda perlu memboikot atau berhenti terus daripada makan di kedai mamak.
Dengan sedikit ilmu dan kesedaran pemakanan, anda sebenarnya masih boleh menikmati makanan kegemaran di kedai mamak sambil menjaga kesihatan tubuh badan.
Kuncinya adalah membuat pilihan makanan yang lebih bijak, seimbang dan berpada-pada.
Jadi, dalam artikel ini kami kongsikan beberapa tip mudah dan praktikal untuk membantu anda makan secara lebih sihat di kedai mamak tanpa perlu berkompromi dengan cita rasa dan kepuasan makan anda.
Roti canai sememangnya popular di kalangan rakyat Malaysia tetapi ia mengandungi banyak minyak dan kalori yang tersembunyi akibat penggunaan marjerin dan cara masak yang bergoreng.
Sebagai alternatif, anda boleh memilih capati, tosai atau naan yang dimasak tanpa minyak berlebihan.
Capati misalnya diperbuat daripada tepung gandum penuh yang lebih tinggi serat. Ia membantu penghadaman dan mengekalkan rasa kenyang lebih lama.
Tosai pula bersifat rendah lemak dan sesuai bagi mereka yang mengawal berat badan manakala naan yang dibakar boleh menjadi pengganti yang lebih baik jika diambil secara sederhana tanpa sapuan mentega.
2. Pilih kari dhal
Ramai yang tidak sedar bahawa pemilihan kuah juga memainkan peranan besar dalam kesihatan pemakanan harian. Kari dhal ialah pilihan kuah yang terbaik kerana ia diperbuat daripada kacang dal yang kaya protein tumbuhan, serat dan zat besi. Tidak seperti kari biasa yang berminyak dan bersantan, kari dhal adalah kurang lemak dan tidak terlalu berat di perut.
Ia juga memberikan rasa yang lazat dan seimbang tanpa membebankan sistem pencernaan anda terutama jika diambil pada waktu malam.
Malah, kandungan seratnya yang tinggi turut membantu mengawal paras kolesterol dan melancarkan sistem penghadaman.
Ayam tandoori juga merupakan menu bakar yang rendah lemak tetapi tinggi rasa kerana ia diperap dengan pelbagai rempah sihat seperti kunyit, halia, bawang putih dan yogurt.
Tidak seperti ayam goreng mamak yang digoreng dalam minyak terendam dan boleh meningkatkan kolesterol, ayam tandoori dibakar dalam ketuhar tanah liat yang membantu mengekalkan kelembapan serta nutrisi daging.
Selain itu, ayam tandoori biasanya dihidangkan bersama hirisan timun dan bawang yang menambah nilai nutrisi pada hidangan anda.
Hidangan ini bukan sahaja lebih ringan di perut malah memberi rasa kenyang yang lebih lama tanpa rasa bersalah. Ia sesuai dinikmati pada bila-bila masa sama ada sebagai makan tengah hari mahupun makan malam.
4. Pilih nasi campur berbanding nasi goreng
Nasi goreng di kedai mamak biasanya dimasak dengan minyak banyak, perencah segera serta garam yang tinggi. Ini menjadikannya kurang sesuai untuk mereka yang ingin menjaga kesihatan.
Sebaliknya, nasi campur membolehkan anda mengawal jenis lauk yang dipilih, serta mengimbangkan antara protein, karbohidrat dan sayuran dalam satu pinggan.
Anda juga boleh memilih nasi putih berbanding nasi yang berperisa. Kemudian, tambahkan lauk seperti sayur rebus, ikan bakar atau sup ayam yang kurang berminyak dan lebih berkhasiat.
Di samping itu juga, anda boleh meminta pengendali kedai untuk mengurangkan kuah atau memilih lauk tanpa kuah bagi mengelakkan pengambilan minyak yang berlebihan.
Dengan sedikit kawalan, nasi campur boleh menjadi hidangan yang bukan sahaja lazat tetapi juga menyokong gaya hidup sihat.
Masakan yang bergoreng mengandungi lemak tepu yang tinggi. Jika dimakan secara kerap, ia boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung.
Oleh itu, sebaiknya elakkan pengambilan makanan bergoreng secara berlebihan. Beralihlah kepada masakan berkuah seperti kari atau sup kerana kaedah penyediaannya lebih sihat dan tidak memerlukan minyak yang banyak.
Di samping itu, masakan seperti kari ikan atau kari ayam mengandungi rempah yang baik untuk sistem penghadaman dan jika dimasak dengan betul, ia tetap lazat tanpa perlu digoreng.
Anda masih boleh menikmati keenakan hidangan mamak sambil menjaga kesihatan asalkan tahu membuat pilihan yang lebih seimbang.
BACA : Petua, Cara & Tip Lembut Daging Korban Liat
6. Minum teh O kurang manis atau air kosong
Minuman manis seperti teh tarik, nescafe tarik atau milo ais di kedai mamak mengandungi kandungan gula yang tinggi. Jika diamalkan setiap hari, ia boleh meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes.
Oleh itu, adalah penting untuk mengawal pengambilan gula dalam minuman harian. Sebagai gantinya, pilihlah teh O kurang manis atau air kosong bagi membantu mengawal paras gula dalam darah serta mengekalkan hidrasi badan.
Jika anda perlukan minuman panas, teh herba atau barli suam tanpa gula juga boleh menjadi pilihan menyegarkan dan menyihatkan.
Dengan mengurangkan pengambilan gula tambahan, anda juga dapat mengelakkan masalah seperti kerosakan gigi dan keletihan akibat lonjakan gula yang tidak stabil.
Walaupun maggi goreng atau mee goreng mamak antara menu ikonik, ia mengandungi garam yang tinggi dan kaya debgan perisa tambahan.
Makanan seperti ini memberi tenaga segera tetapi tidak tahan lama. Malah ia juga boleh menyebabkan rasa lesu atau pening selepas makan.
Sebagai pilihan yang lebih sihat, anda boleh mencuba bihun sup dengan tambahan sayur bersama telur rebus atau mi rebus dengan kuah cair yang tidak terlalu berminyak.
Ramai antara kita suka membanjiri nasi dengan kuah kerana ingin rasa lebih ‘kick’, tetapi tindakan ini sebenarnya menambah kandungan lemak, garam dan kalori tersembunyi.
Kuah seperti kari pekat, masak merah atau sambal seringkali mengandungi santan atau minyak yang banyak. Ianya dapat membebankan hati dan buah pinggang sekiranya diambil secara berlebihan
Sebaiknya, minta kuah diletakkan sedikit sahaja di tepi pinggan atau asing supaya anda boleh kawal sendiri jumlah yang diambil tanpa menjejaskan rasa keseluruhan hidangan.
Oleh itu, makan di kedai mamak tidak semestinya membawa kepada gaya hidup tidak sihat. Dengan membuat pilihan makanan yang lebih bijak dan seimbang, anda masih boleh menikmati keenakan masakan mamak tanpa rasa bersalah.
Sumber : healthworks, pamper.my