Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Jepun Tawar US$1 Bilion Kepada Bangladesh, Naik Taraf Landasan Kereta Api
NEW DELHI, 30 Mei (Bernama) — Jepun akan menyediakan sebanyak US$1 bilion kepada Bangladesh sebagai sokongan belanjawan dan untuk menaik taraf landasan kereta api utama.
Pakej kewangan itu dipersetujui semasa lawatan pemimpin sementara Bangladesh Muhammad Yunus ke Tokyo sewaktu beliau mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala dan serantau dengan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Jumaat.
“Daripada jumlah itu, Jepun akan menyediakan US$418 juta sebagai Pinjaman Dasar Pembangunan untuk menyokong reformasi ekonomi dan ketahanan iklim Bangladesh.
“Tokyo juga akan memberi pinjaman US$641 juta bagi kerja naik taraf laluan kereta api Joydevpur-Ishwardi kepada trek berkembar dwigauge, iaitu landasan yang membolehkan tren daripada dua jenis sistem rel digunakan secara serentak. Jepun turut menyediakan geran sebanyak US$4.2 juta untuk biasiswa,” menurut kenyataan pejabat beliau pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan bersama, Ishiba mengulangi sokongan Jepun kepada kerajaan sementara Bangladesh dalam “usaha membina negara, inisiatif reformasi dan usaha ke arah peralihan yang aman”.
“Kedua-dua pihak berkongsi pandangan yang penyelesaian muktamad kepada krisis ini demi keamanan dan kestabilan rantau ini adalah kepulangan semula pelarian secara mampan, selamat, sukarela dan bermaruah ke Myanmar. Kedua-dua pihak juga mengiktiraf kepentingan dialog ikhlas dalam kalangan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan krisis ini,” menurut kenyataan itu.
Yunus, yang tiba di Jepun pada Rabu dalam lawatan selama empat hari, turut berinteraksi dengan syarikat, tokoh dan organisasi terkemuka Jepun.
Pada Jumaat, pemimpin Bangladesh itu menyaksikan pemeteraian enam memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang seperti kerjasama pelaburan dan pembuatan antara entiti Jepun dan Bangladesh sempena seminar perniagaan.
Antaranya MoU melibatkan kerjasama dalam projek tenaga antara Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun (JBIC) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh.
Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh (BIDA) juga menandatangani perjanjian dengan satu konsortium Jepun untuk menubuhkan kilang basikal berkuasa bateri dan loji pembuatan motosikal elektrik.
Sumber: BERNAMA