Mufti Selangor Perjelas Hukum Jual Beli “Blind Box”
Trend pembelian blind box atau kotak misteri kini semakin popular dalam kalangan anak muda. Walaupun kelihatan seperti fenomena baharu, sebenarnya ia telah lama wujud.
Kotak kecil yang dijual pada harga tertentu ini menarik perhatian kerana pembeli tidak mengetahui isi kandungannya sehingga kotak dibuka.
Ada yang berasa seronok apabila memperoleh barangan edisi terhad atau bernilai tinggi, namun tidak kurang juga yang kecewa apabila hanya mendapat barangan biasa.
Fenomena ini bukan sekadar menjadi trend hiburan, malah ia turut mengundang perbincangan serius, khususnya dari sudut pandang hukum Islam.
Bagi menjawab kekeliruan ini, Mufti Selangor tampil memberikan penjelasan berkaitan hukum jual beli blind box ini.
SOALAN
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang status jual beli sesuatu barang. Apakah hukum penjualan barangan atau isi di dalam Blind Box dimana dalam kotak itu telah pun dibuka dan diketahui isi kandungannya.
Contoh, pembeli A menganggar berat dan bunyi isi kandungan Blind Box dan membeli kotak tersebut, setelah membeli dan membukanya pembeli A mendapati isi kandungan adalah mainan no. 3 seperti yg dianggarkan ATAU tidak dianggarkan.
Apakah hukum menjual mainan no. 3 tersebut kepada pembeli kedua setelah mengetahui isi kandungannya? Dan apakah status hasil daripada penjualan tersebut?
JAWAPAN
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Antara syarat dalam jual beli adalah konsep suka sama suka atau saling meredhai antara pembeli dan penjual. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 29:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Merujuk kepada persoalan, transaksi jualan yang pertama iaitu antara penjual dan pembeli pertama telah saling meredhai antara oleh pembeli untuk membeli barangan tersebut walaupun ia merupakan blind box iaitu tidak mengetahui apakah bentuk barangan tersebut.
Pembeli redha dengan pembelian tersebut apabila telah membuat bayaran walaupun sekadar menganggar isi barangan tersebut.
Manakala transaksi jualan kedua iaitu antara pembeli pertama (yang telah membeli barangan blind box dan telah membukanya). Kemudian beliau menjual barangan tersebut kepada pihak ketiga (pembeli kedua).
Pembeli ketiga tidak mengetahui asal barangan jualan itu dan berkehendak untuk membeli barangan tersebut menandakan keredhaannya dalam transaksi tersebut.
Kesimpulan yang boleh disimpulkan adalah menjual barangan dari Blind Box yang telah dibuka dan isi kandungannya diketahui adalah dibenarkan dan hasil jualannya adalah halal..
Manakala hukum asal membeli Blind Box boleh menjadi harus jika ketidakpastian kecil, pembeli reda, dan ia tidak membawa kepada kemudaratan dan perselisihan.
والله أعلم بالصواب
Sekian. Terima kasih.
BACA: Lebih 100,000 Rakyat Imarah Program Kedah Berselawat 2.0
BACA: Trend S Line: Bahagian Dakwah JAKIM Ingatkan Umat Islam Jangan Normalisasi Aib
BACA: Masih Relevankah Hibah Selepas Boleh Dicabar Di Mahkamah?
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor