Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Mufti WP Perjelas Hukum Guna Deepfake AI Jadi Bahan Pornografi
Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka banyak peluang baharu dalam kehidupan harian manusia.
Namun, tidak dinafikan ia juga membawa cabaran besar apabila disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik.
Lebih membimbangkan, ada pihak yang menggunakannya untuk menghasilkan bahan lucah dan pornografi.
Perkara ini bukan sahaja menjejaskan maruah individu yang terlibat, malah boleh menimbulkan fitnah dan gangguan seksual digital.
Sehubungan itu, Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan penjelasan berhubung hukum penggunaan deepfake AI bagi tujuan tersebut.
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ada membaca berkenaan isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada hari ini sehingga ada pihak yang menggunakan wajah individu sebenar untuk diubah suai menjadi bahan pornografi melalui teknologi deepfake.
Mohon pencerahan SS Mufti berkenaan isu ini.
Penggunaan deepfake AI sebagai bahan pornografi jelas merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Syarak.
Hal ini kerana, ia merupakan satu penipuan yang bukan sahaja mengundang kepada ancaman fitnah digital.
Malah, turut melibatkan pencerobohan terhadap maruah dan privasi orang lain serta pemalsuan identiti.
Selain itu, ia juga adalah suatu bentuk jenayah siber dan gangguan seksual digital yang boleh dilaporkan kepada pihak berautoriti seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Oleh itu, umat Islam dan masyarakat awam perlu berhati-hati serta berpegang pada prinsip tabayyun (selidik semula), amanah dan etika digital.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Deepfake AI merujuk kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) bagi menghasilkan atau memanipulasi wajah, suara dan tubuh manusia sebenar secara tiruan.
Proses ini menggunakan data imej atau rakaman video seseorang yang kemudiannya digabungkan dengan kandungan lain sehingga menampakkan seolah-olah individu benar-benar melakukannya.
Teknologi ini sering digunakan tanpa pengetahuan atau keizinan mangsa malah sering disalahgunakan untuk tujuan yang tidak bermoral seperti pemerasan, pornografi, penipuan dan sebagainya.
Kemajuan teknologi pada zaman kini termasuklah penggunaan AI dalam kehidupan seharian sememangnya memberi banyak manfaat dan memudahkan kerja manusia.
Namun, jika ia tidak digunakan dengan sebaiknya maka hal ini membuka kepada ruang penyebaran fitnah.
Keadaan ini terutamanya dalam isu pemanipulasian imej, video dan suara yang kelihatan seolah-olah benar walhal ia hanya palsu semata-mata.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebohkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat, (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
(Surah al-Nur:19)
Berdasarkan ayat ini, ulama tafsir menjelaskan bahawa mereka yang suka apabila perbuatan zina itu tersebar dalam kalangan orang beriman dan ditampakkan dalam kalangan masyarakat (menyebarkan tuduhan zina).
Maka, Allah SWT menjanjikan mereka dengan azab yang pedih di dunia (hukuman hudud) dan di akhirat (neraka jahanam) sekiranya mereka tidak meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat.
Demikian juga dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berhubung isu penghasilan bahan pornografi menggunakan teknik deepfake AI, meskipun kandungan imej atau video yang dihasilkan itu palsu.
Namun, ia tetap merupakan suatu yang diharamkan kerana perkara tersebut boleh membangkitkan syahwat bagi sesetengah orang yang melihatnya.
Allah SWT melarang seseorang daripada melihat perkara-perkara yang haram sepertimana dalam firman-Nya:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Nur: 30)
Imam al-Tabari menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan kepada manusia untuk menjaga pandangan mereka daripada melihat apa-apa perkara yang boleh membangkitkan syahwat iaitu apa yang dilarang oleh Allah SWT untuk melihatnya.
Menyemak, meneliti dan menyaring setiap maklumat atau berita yang diterima merupakan salah satu akhlak dalam Islam bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat, sekali gus menghindarkan diri daripada sikap tergesa-gesa dan prasangka yang tidak berasas.
Prinsip tabayyun bukan sekadar suruhan agama tetapi juga tuntutan moral dan sosial.
Ia melindungi maruah individu, menjaga hubungan sesama manusia dan memastikan kebenaran sentiasa diutamakan.
Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.
Supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Surah al-Hujurat (6)
Hal ini kerana, maklumat palsu kini boleh tersebar bukan sekadar melalui kata-kata tetapi juga melalui imej dan video yang ‘nampak benar’.
Lebih membimbangkan lagi apabila kecanggihan AI mampu menghasilkan bukti palsu yang kelihatan autentik sehingga sukar dibezakan antara yang betul dan palsi.
Justeru itu, setiap individu muslim perlu mendidik diri dengan disiplin menyemak sumber, menilai kesahihan dan berhati-hati sebelum membenarkan serta berkongsi apa-apa maklumat.
Menggunakan kemajuan teknologi moden dengan penuh amanah dengan niat dan tujuan yang baik.
Memastikan batas syariah dan akhlak dalam penggunaan AI menepati nilai Islam dan tidak bercanggah dengan syariat.
Tidak mengandungi unsur penipuan dan penyebaran berita palsu yang mengundang kepada fitnah dalam masyarakat.
Tidak menghasilkan kandungan yang boleh menjatuhkan maruah dan kemuliaan manusia kerana wujudnya perkara-perkara yang mengaibkan diri dan merendahkan martabat seseorang.
Tidak menghasilkan kandungan imej atau video yang mendedahkan aurat secara melampau serta menjurus ke arah pornografi dan penyebaran bahan lucah.
Tidak menerima setiap maklumat tanpa tabayyun iaitu menyemak semula sumber dan mengesahkan kesahihan sebelum dikongsi.
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan hendaklah diarahkan kepada perkara-perkara yang membawa manfaat serta kebaikan bersama.
Ia perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan kerja, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, memudahkan urusan kehidupan seharian dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Dalam masa sama, penggunaannya mestilah disertai dengan nilai tanggungjawab, etika dan kawalan diri agar tidak disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan kemudaratan, penipuan atau kerosakan.
Dengan itu, teknologi ini akan menjadi medium yang mendekatkan manusia kepada kemajuan yang seimbang selaras dengan prinsip agama dan nilai kemanusiaan sejagat.
Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita membahas keaiban individu.
Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.
Wallahu a’lam
BACA: Hukum Tukar Wajah Jadi Gambar Patung Guna AI – Mufti WP
BACA: Mufti Selangor Perjelas Hukum Jual Beli “Blind Box”
BACA: Hukum Gali Semula Jenazah Yang Telah Dikebumikan – Mufti WP
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan