Nampak Bersih Tapi Rupanya Ini Yang ‘Huni’ Skrin Telefon
Telefon pintar kini menjadi item penting yang wajib dibawa kemana-mana sahaja. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa semua orang mempunyai peranti canggih ini termasuk warga emas dan kanak-kanak.
Bak dompet yang selalu diselit di dalam poket atau beg, meninggalkannya di rumah ibarat tidak membawa apa-apa ketika keluar. Manakan tidak, segala urusan seperti perbankan juga dilakukan di dalam telefon pintar terbabit.
Bagaimanapun, pasti ramai yang tidak sedar bahawa peranti tersebut juga sebenarnya mudah terdedah kepada pelbagai kotoran. Selain kerana faktor skrin sentuh, ada juga sesetengah orang yang mungkin suka membawa masuk telefon ke dalam tandas. Tanpa sedar, perbuatan itu sebenarnya mendedahkan telefon kepada bakteria.
Malah, kajian yang diterbitkan pada tahun 2017 mendapati bahawa skrin telefon terbabit mungkin 10 kali lebih kotor dari tempat duduk tandas.
BACA: Ini Cara Mudah Daftar MyBorderPass
Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan keadaan telefon yang dipercayai dipenuhi kuman.
Jika dilihat dengan mata kasar, telefon tersebut mungkin kelihatan bersih namun apabila diletakkan di bawah mikroskop dapat dilihat ada yang ‘menghuni’ di celah-celah ruang kecil di skrin telefon.
Malah, jari kita juga mungkin menjadi punca kepada pembiakan bakteria di skrin telefon.
“Kita sering berfikir mengenai penjagaan kebersihan tangan, tetapi pernahkan anda sedar ada bakteria yang bersembunyi di telefon anda?
“Penemuan terbaru daripada iFix Africa memperlihatkan telefon pintar ‘dihuni’ sejumlah besar kuman, terutama apabila kita menyentuhnya sepanjang hari,” kata iFix Africa yang memuat naik video terbabit.
Mereka juga menasihatkan orang ramai untuk mencuci tangan dengan bersih sebelum makan terutama selepas menggunakan telefon pintar.
“Kebersihan telefon dan tangan anda adalah sama penting. Beringatlah untuk sentiasa membersihkan telefon anda dan basuh tangan sebelum makan,” katanya.
Video itu yang kini mempunyai jumlah tontonan sebanyak 1.3 juta mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai. Ada yang terkejut dan tidak kurang juga yang sedar mengenai perkara itu.
Sumber: iFix Africa