Terengganu Salur Bantuan One-off RM3,000 Kepada Waris Mangsa Terkorban Di Gerik
KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) — Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM3,000 kepada setiap 15 waris penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding di Gerik, Perak, Isnin lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata daripada jumlah itu RM1,000 telah disampaikan lebih awal kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Selain waris mangsa yang terkorban, katanya bantuan sebanyak RM1,000 turut akan diberikan kepada 33 mangsa yang cedera dan terlibat dalam nahas berkenaan.
“Kerajaan negeri amat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sedaya mungkin. Kami juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan semua mangsa dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di JRTB.
BACA: 400,000 Peminjam Tidak Pernah Bayar Hutang PTPTN
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita berkata beliau sendiri akan menyerahkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terkorban pada Selasa depan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan keperluan hospital termasuk kos pembedahan serta menyediakan sesi kaunseling kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.
“Peranan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga amat penting, dan mereka telah memainkan peranan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada keluarga yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri Terengganu serta Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dalam pada itu Ahmad Samsuri menyeru semua pihak termasuk kementerian berkaitan supaya melakukan audit meliputi semua aspek penguatkuasaan undang-undang, keselamatan jalan raya, penggunaan bas dan sebagainya supaya kejadian yang seumpama itu tidak berulang.
“Jika tidak dapat dilaksanakan secara serentak, ia boleh dibuat secara berfasa dengan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada lokasi-lokasi panas (berisiko tinggi),” katanya.
BACA: Malaysia Rekod Kadar Pengangguran Terendah Dalam 10 Tahun
Sumber: BERNAMA